
News and photo from Beria Harian online...
Sembilan penumpang selamat selepas terperangkap 30 minit
MIRI: Dua kenderaan yang membawa sembilan penumpang, termasuk seorang wanita yang sarat mengandung terjunam ke dalam lubang sedalam 30 meter selepas Jalan Miri-Bekenu, berdekatan Kampung Kejapil, dekat sini, runtuh malam kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, semua mangsa disahkan selamat namun lebih 1,000 penduduk beberapa kampung berdekatan terputus hubungan berikutan jalan ditutup kepada semua kenderaan.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Jamaluddin Ibrahim, berkata kenderaan pacuan empat roda jenis Toyota Hilux yang membawa enam penumpang dan kereta jenis Proton Wira yang membawa tiga penumpang berkenaan terperangkap di dalam runtuhan tanah.
"Jalan berkenaan dipercayai runtuh kira-kira jam 7 malam selepas hujan lebat sejak Jumaat lalu menyebabkan struktur tanah di kawasan sekitarnya tidak stabil.
"Pemandu dua kenderaan itu dipercayai tidak menyedari terdapat lubang seluas 20 meter berikutan keadaan gelap dan hujan menyebabkan mereka menjunam ke dalam tanah," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Difahamkan, dua kenderaan berkenaan terperangkap hampir 30 minit di dalam runtuhan tanah sedalam 30 meter sebelum penduduk kampung yang terdengar bunyi kuat keluar membantu penumpang terbabit.
Semua penumpang kemudian dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan.
Jamaluddin berkata, pihaknya sudah menutup jalan berkenaan bermula malam kelmarin dan penduduk kampung terpaksa menggunakan jalan alternatif yang hanya boleh dilalui kenderaan kecil sehingga pemeriksaan lanjut dilakukan kakitangan Jabatan Kerja Raya (JKR).
"Penduduk yang mempunyai urusan di Miri atau Bekenu dinasihatkan menggunakan jalan di kawasan kampung sebelum keluar ke Jalan Miri-Bekenu yang disahkan selamat," katanya.

1 comment:
mate..byk tanah runtuh kat miri ya.. masih hujan lagi kaa..
btw, u've been tagged, kalau tension2 tu.. buatlah yer...
Post a Comment